BERITA UTAMA


Berita Utama PPBM

Sumber Malaysiakini
20/02/2018

PRU14: Mahathir boleh menjelma di Pekan

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini terus berteka-teki berkenaan parlimen yang akan ditandinginya dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pada masa sama, Dr Mahathir juga mengingatkan Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau juga boleh "menjelma" di Pekan yang kini disandang perdana menteri.

"Kita nak bagitau pada Najib, saya akan menjelma di banyak kawasan termasuk Putrajaya. Saya dah pergi Putrajaya, nampak saya cukup popular di sana. Ambil gambar tak berhenti-henti.

"Tempat lain pun saya akan pergi juga. Saya nak pergi ke Pekan. Pekan memanglah... Alor Setar pun ada pekan jugak. Tapi saya nak ke Pekan, tengok orang-orang Pekan," kata Dr Mahathir dalam sidang media di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Petaling Jaya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan HARAPAN.

Dr Mahathir turut berkata, kunjungan Najib ke Langkawi baru-baru ini dan pengumuman peruntukan pembangunan RM1.3 bilion merupakan langkah yang boleh dijangkakan daripada BN.

"Apabila dia nampak satu-satu tempat itu dilawati oleh pemimpin parti lawan dia akan serta-merta beri peruntukan pada tempat itu.

"Nampak dia (Najib) fikir saya akan (bertanding) ke Langkawi," katanya.

Menurut Dr Mahathir lagi, Najib sengaja mengumumkan peruntukan itu bagi memastikan bekas perdana menteri itu kalah.

"Dia (Najib) berlagak macam orang kaya dengan poket penuh duit. Dia tak perlu minta kebenaran parlimen, di mana dia tengok boleh bagi duit, dia bagi," katanya.

Dr Mahathir juga mendakwa kerajaan tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk memenuhi semua janji Najib.

"Pada masa sama dia nak bagi Langkawi RM1.3 bilion. Mungkin sebab (dia fikir) saya nak bertanding di sana. Tapi saya juga mahu bertanding di Kubang Pasu, jadi dia boleh bagi lebih banyak peruntukan," tambahnya.

Ketika kunjungan ke Langkawi, Najib mengumumkan lima projek pembangunan baru termasuk pembinaan bangunan tambahan untuk Hospital Langkawi yang akan dibina di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

News-Link:https://www.malaysiakini.com/news/412835