KENYATAAN MEDIA

MERCUTANDA BAHARU POLITIK MALAYSIA

Saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana akhirnya PPBM, PKR, DAP dan Amanah telah mencapai kata sepakat untuk membentuk satu kesatuan politik yang lebih jitu dalam menghadapi pilihanraya umum ke-14 dengan pembentukan struktur kepimpinan baharu Pakatan Harapan. Ini adalah satu mercutanda baharu dalam politik tanah air yang akan menggalas harapan rakyat untuk menyaksikan perubahan besar politik negara ke arah pembentukan sebuah kerajaan yang lebih demokratik, adil dan menyantuni keperluan rakyat.

Dengan struktur kepimpinan baharu ini, saya yakin Pakatan Harapan akan mampu bergerak dengan lebih mantap untuk membela nasib rakyat. Saya ingin mempertegaskan agenda Pakatan Harapan untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang melaksanakan tadbir urus yang baik serta memberikan keutamaan kepada usaha untuk memajukan ekonomi dan meringankan beban rakyat.

Ini termasuk menghapuskan GST, mengawal kenaikan harga barang, memerangi rasuah hingga ke akar umbi dan melakukan reformasi institusi termasuk menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja. Pakatan Harapan juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB dengan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja Skandal 1MDB dan mendapatkan kembali wang rakyat yang dicuri daripada 1MDB. Langkah-langkah juga akan diambil untuk memulihkan FELDA dan membela nasib para peneroka FELDA.

Dengan pengalaman luas pimpinan Pakatan Harapan di dalam pentadbiran kerajaan, termasuk seorang mantan Perdana Menteri, dua mantan Timbalan Perdana Menteri, seorang mantan Menteri Besar dan dua orang Menteri Besar dan Ketua Menteri, serta ramai lagi pimpinan yang telah lama berkhidmat sebagai wakil rakyat dan lain-lain, saya percaya Pakatan Harapan akan dapat mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul dan mengurus negara dengan cemerlang.

Pakatan Harapan juga akan terus mendokong dan mempertahankan Perlembagaan Malaysia termasuk kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, hak setiap rakyat untuk mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak yang sah untuk semua kaum, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu sebagai raja berperlembagaan.

Saya percaya gandingan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi PH dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum PH akan memantapkan barisan kepimpinan PH dalam mengemudi sebuah gabungan politik baharu untuk menyongsong perubahan politik di negara ini.

Saya berasa amat bersyukur kerana kedua-dua tokoh ini adalah amat dekat dengan saya ketika saya berada di dalam kerajaan, kususnya semasa saya dan Dato’ Seri Anwar adalah anggota kabinet Tun Dr Mahathir. Kini, kami kembali bertaut semula dalam saf perjuangan politik baharu bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain untuk membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul dan membina semula negara ini sebagai sebuah negara yang sejahtera dan dihormati oleh dunia.

Saya berdoa semoga Pakatan Harapan dapat memberikan sinar harapan baharu kepada rakyat untuk memulakan satu perjalanan ke arah membina sebuah negara Malaysia yang lebih baik. Keputusan yang dicapai di dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan malam tadi untuk memuktamadkan satu barisan kepimpinan yang mantap, beramanah dan teruji adalah satu muafakat politik yang amat bersejarah.

InsyaAllah, dengan dokongan rakyat seluruhnya dan izin Allah s.w.t. bahtera Pakatan Harapan akan berjaya melayari samudera perjuangan untuk membela rakyat dan memulihkan negara.
TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
14 Julai 2017