Program ‘Back To School’ Parlimen Kota Melaka meriah, 200 murid mendapat beg sekolah

MELAKA 11 Jan. – “Seronok betul dapat beg sekolah baharu dan alat-alat tulis. Tak sabar nak mulakan sesi persekolahan.

“Kawan-kawan adik semuanya ‘happy’. Kami betul-betul ‘happy’. Terima kasih semua.

“Kalau PKP menyebabkan sesi persekolahan tangguh, tapi nanti bila dah keadaan ‘ok’, beg ini adik nak guna dan bawa ke sekolah,” kata adik Nurfatirah Samsudin, 12, sambil tersenyu.

Nurfatirah merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Padang Temu dalam kawasan Parlimen Kota Melaka.

Pelajar itu antara 200 murid yang menerima bantuan beg sekolah dalam Program Bantuan Persekolahan `Back To School’ Perikatan Nasional (PN) Parlimen Kota Melaka di Dewan MBMB Taman Seri Telok Emas di sini semalam.

Penyampaian beg sekolah serta alat-alat itu disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan.

Program itu mendapat kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Melaka dan Pas kawasan berkenaan.

Turut hadir Ketua BERSATU Bahagian Kota Melaka, Dato’ Hishamuddin Abdul Karim dan Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kota Melaka, Zuhaidi Yusof.