PTPTN, BERSATU Kota Melaka, Pas bergabung bantu keluarga Mohd. Rezzal

MELAKA 12 Jan. – Memasuki tahun 2021, merupakan cabaran amat berat bagi seorang tukang paip, Mohd. Rezzal Abd. Rahim, 40, di Kampung Padang Temu dalam Parlimen Kota Melaka di sin.

Selain perlu menampung seorang isteri, Mohd. Rezzal juga harus menyediakan segala keperluan enam orang anaknya yang berusia satu tahun setengah hingga 15 tahun.

Tambahan pula, sesi persekolahan yang hampir tiba, menjadikan tukang paip itu memikirkan pelbagai keadaan, terutama dalam menyediakan peralatan persekolahan anak-anak.

Namun, kesusahan hidup keluarga berkenaan mendapat perhatian Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan dan  Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kota Melaka, Dato’ Hishamuddin Abdul Karim.

Keprihatinan PTPTN dan BERSATU Kota Melaka membolehkan anak-anak Mohd. Rezzal menerima beg dan peralatan sekolah selain beberapa bantuan tambahan yang disampaikan oleh Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan BERSATU Malaysia.

Penyampaian beg sekolah itu dilakukan menziarahi keluarga Mohd. Rezzal yang turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kota Melaka, Zuhaidi Yusof.

“PTPTN akan terus membantu mana-mana keluarga yang memerlukan dalam menyediakan kemudahan peralatan sekolah seperti beg untuk anak-anak mereka. Ini yang kita lakukan sejak sekian lama,” kata
Wan Saiful.

Bagi wakil Pas, Zuhaidi pula melahirkan rasa terima kasih kerana penduduk Parlimen Kota Melaka sentiasa dibantu dan tidak dipinggirkan.

Sementara itu, Hishamuddin pula berkata, BERSATU Bahagian Kota Melaka sentiasa bersedia membantu mana-mana keluarga yang memerlukan bantuan tanpa mengira perbezaan politik.