Muhyiddin Yassin Lancar MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang mana aspirasi ini selaras dengan perkembangan kemajuan teknologi global.

Pelancaran itu sejajar dengan usaha Malaysia mendepani Revolusi Industri IR4.0 untuk memastikan masyarakat dapat berkembang selaras perkembangan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI), internet benda atau internet of things (IO”), analitik data raya atau big data analytics serta blok rantai atau `blockchain’ yang ternyata telah merevolusikan kehidupan masyarakat.

Inisiatif MyDIGITAL tersebut berhasrat memperkasakan setiap rakyat Malaysia bagi memperbaiki kehidupan mereka dalam segenap aspek.

Idea ini merangkumi pelan untuk meningkatkan literasi digital, menjadikan urusan perbankan dan kewangan lebih mudah serta teratur dan memberikan akses pendidikan secara maya kepada golongan pelajar.

Juga ia dapat membawa kemudahan perubatan ke pekan-pekan terpencil di seluruh negara selain menepati hasrat kerajaan dalam mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat.