Ke mana Masa Depan Kepemimpinan Parlimen Pandan

Palimen Pandan adalah salah satu daripada 22 kawasan Parlimen di Selangor. Walaupun keluasan kawasan ini kecil tetapi jumlah pengundinya sangat ramai melangkaui 100,000 orang.

Mengikut data SPR suku tahun kedua 2020, jumlah pengundi di Pandan ialah 106,000 orang, pertambahan 5,000 pengundi berbanding semasa PRU-14 lalu.

Pada PRU-14, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah memenangi kerusi Parlimen Pandan. Namun, sejak beliau dipilih menjadi Ahli Parlimen Pandan, ada pihak mengatakan beliau jarang bertemu penduduk.

Namun sejak 2019, beliau sudah tidak lagi kelihatan atau terlalu jarang berada di kawasan parlimennya.

Segala program dan urusan di pusat khidmatnya dijalankan oleh petugas-petugasnya. Beliau tidak kelihatan untuk turun bertemu dengan rakyat, menyelesaikan pelbagai isu rakyat di Pandan.

Atas sikap itulah maka kebanyakan penduduk di Pandan merasakan sudah tiba masanya untuk pengundi mendapatkan khidmat pemimpin baharu yang lebih komited untuk mendengar dan turun menyelesaikan masalah rakyat di Pandan.

Untuk kali ini, penduduk mahukan pemimpin sentiasa berada di Pandan atau tinggal di Pandan. Penduduk sudah muak dan kecewa dengan mana-mana pemimpin luar yang diletakkan oleh parti mereka bertanding dan mewakili mereka di Pandan.

Penduduk tidak mahu lagi orang luar. Penduduk mahukan orang tempatan yang lebih komited dan dekat dengan mereka.

Penduduk tidak kisah jika pemimpin mereka tidak menjawat jawatan menteri atau apa-apa jawatan tinggi dalam kerajaan. Bagi penduduk, masa itu penting dan mahukan pemimpin yang mempunyai masa untuk mereka.

Sudah dua penggal penduduk di Pandan diwakili orang luar. Pada PRU-13, Pandan diwakili Rafizi Ramli.

Kini tiba masanya penduduk Pandan diwakili anak Selangor dan bukan orang luar. Penduduk mahukan anak Selangor dan telah lama berada di sekitar Pandan untuk membolehkan wakil rakyat mereka benar-benar memahami kehendak mereka.

Selain anak tempatan, pengundi di Pandan juga mahukan wakil rakyat mereka boleh dilihat dan mampu mewakili semua peringkat masyarakat tanpa batasan kaum dan agama.

Penduduk tidak mahu wakil mereka yang ultra rasis atau pun bersikap memilih untuk menyampaikan khidmat mereka.

Penduduk mahukan pemimpin mereka faham budaya setiap masyarakat di Pandan. Uniknya Parlimen Pandan ini, komposisi kaumnya adalah sama iaitu Melayu dan Cina mewakili 50 peratus.

Kaum India pula adalah minoriti yang tinggal di beberapa perkampungan lama di sekitar Pandan.

Kaum Melayu paling ramai berada di kawasan DUN Pandan Indah yang terletaknya kampung tradisi bandar iaitu Kampung Pandan. Manakala kaum Cina pula ramai di DUN Teratai iaitu sekitar Taman Muda dan Pandan Perdana.

Maka, wakil rakyat di Pandan mestilah mampu melayani pelbagai jenis kaum terutama Melayu dan Cina.

Kepadatan penduduk di Pandan ini adalah kerana lokasinya dan gaya hidup di sini. Lokasi Pandan yang terletak di pinggir bandar raya Kuala Lumpur menyebabkan ia agak padat kerana ramai dari mereka mencari rezeki di syarikat-syarikat swasta sekitar Lembah Klang.

Oleh kerana ramai yang memerlukan kediaman di kawasan yang hampir dengan tempat kerja, maka pelbagai jenis rumah pangsa, apartmen atau kondominum pelbagai tingkat dibina di sekitar Pandan.

Untuk itu, pembinaan flat atau apartmen murah adalah sesuai untuk golongan sederhana dan kondominium adalah bagi golongan berkemampuan. Maka, pelbagai isu dan masalah timbul apabila kediaman pelbagai tingkat ini memerlukan kewangan untuk ditadbir urus.

Tanpa kewangan yang kukuh, agak sukar untuk penyelenggaraan bangunan seperti lif, tangka air, kebersihan dan cat bangunan. Rata-rata penduduk merasakan mereka tidak dipedulikan oleh wakil rakyat yang mereka pilih kerana wakil rakyat ini tidak tinggal di kawasan Pandan. Maka kelihatanlah kebanyakan flat dan apartmen  ini buruk dan ada yang kelihatan uzur.

Selain dari itu, penduduk Pandan mahukan pemimpin mereka seorang yang tidak mengutamakan populariti diri sendiri.

Apa pun dari PRU-13 dan PRU-14, penduduk Pandan kini sudah serik dengan kepemimpinan lalu dan mahukan perubahan drastik. Pengalaman lalu menjadikan penduduk Pandan tidak lagi mudah terpedaya.

Penduduk Pandan menuntut agar wakil rakyat mereka datang bertemu dan sebolehnya penduduk mahu berjumpa sendiri dengan wakil rakyat.

Bagi pengundi, mereka mengundi untuk wakil rakyat yang dapat berkhidmat  untuk mereka.

Pada pandangan saya, menjadi wakil rakyat bukan sahaja menjadi pemimpin semata-mata tetapi adalah pekerja kepada rakyat. Kerana undi rakyatlah maka wakil rakyat mendapat elaun dan peruntukan kerajaan untuk berkhidmat.

Mereka (wakil rakyat) adalah Yang Berkhidmat kepada rakyat.

Rakyat tidak kisah jika seseorang wakil rakyat itu tidak dapat selesaikan semua masalah mereka atas beberapa factor tetapi sekurang-kurangnya  muka wakil rakyat itu mereka dapat bertemu di kawasan di mana mereka tinggal.

Lebih kerap wakil rakyat itu kelihatan adalah lebih bagus. Tidak kiralah datang untuk berbincang ke, untuk bergotong- royong, untuk sampaikan sumbangan, mahu pun hanya bersiar-siar di kawasan pengundi mereka.

Mereka akan rasa bangga dan bahagia jika wakil rakyat mereka selalu bertanyakan khabar. Apatah lagi jika wakil rakyat itu memahami budaya dan agama mereka, itu akan menjadi faktor tambahan buat wakil rakyat di mata pengundinya.

ZAKARIA AB. RAHIM
Ketua Penerangan Penggerak Komuniti Negara (PKN) Malaysia