Shahidan, Wan Saiful Setuju Kebersamaan UMNO-BERSATU Mampu Capai Kemenangan PRU-15

KUALA LUMPUR 21 Feb. –  Pengerusi Kelab Penyokong Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim dan Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan, masing-masing bersetuju dan bersependapat bahawa UMNO dan BERSATU perlu kebersamaan bagi memenangi PRU-15.

Malah, Shahidan dan Wan Saiful juga bersependapat bahawa musuh utama kedua-dua parti adalah Pakatan Harapan (PH).

Pendapat mereka itu dinyatakan melalui sembang santai Facebook yang diadakan secara dalam talian.

Shahidan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, UMNO tetap berpegang kepada pendirian dan keputusan MT iaitu menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada sekarang sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Kita bekerjasama dan menyokong kerajaan PN yang ada sekarang di peringkat pusat, negeri dan daerah.

“Kita bekerjasama dengan BERSATU, Pas dan GPS,” katanya.

Sementara itu, Wan Saiful pula mengingatkan bahawa musuh utama mereka ialah PH dan kedua-dua parti patut mengelakkan berlakunya pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum akan datang.

“Jika berlaku pertandingan tiga penjuru, kedua-dua parti akan kalah, sebaliknya yang untung dan menang ialah PH,” katanya.

Sementara itu, kedua-dua pemimpin juga bersependapat bahawa segala permasalahan yang timbul antara kedua-dua parti boleh diselesaikan di meja rundingan.

Shahidan dan Wan Saiful juga bersetuju bahawa penyokong kedua-dua parti harus menghentikan apa jua bentuk serangan antara satu sama lain kerana ia akhirnya akan membawa kepada perpecahan yang kelak merugikan orang Melayu.