Sumbangan Untuk Surau, Sekolah Kebangsaan

CUKAI 22 Feb. – Surau Al-Qamariah Cheneh yang kian menerima penambahan jemaah menyebabkan pengurusan surau itu berusaha menaik taraf kemudahan sedia ada bagi menampung lebih ramai jemaah.

Memandangkan keadaan tersebut dan atas permintaan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengambil inisiatif menyalurkan sumbangan yang perlu untuk kerja-kerja menaik taraf tersebut.

Sehubungan itu, BERSATU Bahagian Kemaman menyampaikan sumbangan RM5,000 bagi membolehkan surau itu dinaik taraf.

Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Kemaman, Zawawi Ahmad berkata, pihaknya terpanggil untuk menyampaikan bantuan tersebut memandangkan jumlah jemaah di situ semakin bertambah selain untuk tujuan menaik taraf kemudahan sedia ada.

“Dengan kerja-kerja menaik taraf ini, surau itu bukan sahaja untuk jemaah menunaikan solat, malah menjadi pusat pertemuan bagi meningkatkan silaturahim dalam kalangan penduduk.

“Harapan kita surau ini menjadi tempat untuk penduduk bertukar-tukar ilmu,’’ katanya.

Di samping itu, BERSATU Bahagian Kemaman juga menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Cheneh Baru.

“Sumbangan itu juga membolehkan PIBG sekolah berkenaan menjalankan aktiviti dalam kalangan murid-murid,’’ katanya.