Rayu Perdana Menteri Dahulukan Vaksin Covid-19 Kepada Penduduk Semporna

SEMPORNA  23 Feb.- Ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara ini antara kesan paling ketara ialah kemusnahan teruk sektor pelancongan dan perniagaan di sekitar Semporna yang turut melibatkan pulau-pulau berhampiran hingga ekonominya tidak dapat bergerak lagi.

Apa yang dikhuatirkan ialah kemusnahan ekonomi serta sektor pelancongan di situ mungkin tidak dapat dibangunkan semula walaupun selepas tiga atau empat tahun akan datang.

Sehubungan itu, Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Semporna, Mohd. Daud Tampokong merayu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar dapat mempertimbangkan untuk memberi keutamaan mendahulukan vaksin Covid itu untuk sebahagian penduduk Semporna.

Jelasnya, jika vaksin itu dapat diberikan kepada sebahagian penduduk, adalah diyakini bahawa penduduk serta pelancong lebih yakin untuk terus berkunjung dan menguruskan ekonomi di situ.

“Pelancongan dan ekonomi di Semporna dan pulau-pulau sekitarnya memang hancur dan terjejas teruk. Semuanya kini tidak dapat bergerak lagi.

“Saya mewakili penduduk merayu Perdana Menteri dapat menghantar wakil untuk meninjau keadaan di sini. Dari tinjauan itu kita akan dapat gambaran sebenar mengenai kemusnahan pelancongan dan ekonomi di situ.

“Sejak dahulu lagi Semporna bergantung kepada sektor ekonominya dengan kedatangan pelancong luar.

“Kini keadaan sunyi sepi. Tiada lagi kedatangan pelancong. Ekonomi pun sudah tidak bergerak lagi. Ramai yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.

“Sebab itu bukannya saya nak memandai-mandai meminta supaya didahulukan penduduk Semporna. Namun, saya merayu agar dapat diberi sedikit kelonggaran dan didahulukan vaksin itu kepada penduduk Semporna.

“Jika langkah ini dilakukan, penduduk akan lebih yakin, begitu juga pelancong juga yakin bahawa kedatangan mereka ke Semporna adalah selamat,’’ katanya.

Mohd. Daud menambah, walaupun ada bantuan termasuk i-Sinar dan sebagainya, namun sektor pelancongan dan ekonomi  di situ terus sepi.

Harapan beliau agar Perdana Menteri dapat mempertimbangkan keperluan vaksin itu mengikut keadaan sesebuah tempatan yang menerima impak teruk akibat Covid-19.

“Apabila saya merayu agar vaksin itu didahulukan kepada penduduk Semporna mungkin ada penduduk dari kawasan lain yang tidak berpuas hati. Namun, saya minta semua orang dapat memahami keadaan di Semporna dengan pertambahan jumlah kes positif akibat Covid serta kemusnahan ekonomi di sini.

“Walaupun ada pihak luar yang menghulurkan bantuan namun ekonomi di sini tetap sepi. Sebab itu kami perlukan vaksin itu untuk membolehkan ekonomi di sini bergerak semula,’’ katanya.

Harapan Mohd. Daud, kerajaan pusat dapat memberikan vaksin tersebut kepada sebahagian besar penduduk di sekitar Semporna yang memang terkesan teruk akibat Covid.