KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN
PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 6 Januari 2021 mengambil ketetapan seperti berikut:

1. BERSATU komited untuk terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya dalam menghadapi penularan wabak COVID-19 dan bencana banjir ketika ini. Tindakan beberapa pihak yang terus menerus melakukan percaturan politik dalam keadaan rakyat sedang melalui dugaan besar adalah sesuatu yang tidak tepat pada masanya.

2. BERSATU berpendirian bahawa pilihanraya umum hanya wajar dilaksanakan apabila perkembangan pendemik COVID-19 berada pada tahap yang lebih baik dan terkawal. Oleh yang demikian, agenda utarna BERSATU ketika ini adalah untuk menumpukan segala usaha serta tenaga bagi menangani pandemik COVID-19 dan memulihkan semula ekonomi negara.

3. Sebagai parti yang mempelopori pembentukan kerajaan Perikatan Nasional, BERSATU beriltizam untuk terus mempertahankan kerjasama politik yang telah dipersetujui bersama parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional dengan berpaksikan kepada agenda penyatuan ummah dan perpaduan seluruh rakyat. Malahan ianya akan diteruskan dengan adil dan saksama bagi menjamin kesejahteraan rakyat yang terdiri daripada semua lapisan agama, bangsa dan budaya.

4. BERSATU juga menyeru supaya semua pihak menunjukkan keikhlasan dan menzahirkan kesungguhan melalui disiplin organisasi yang tinggi bagi memastikan kerjasama politik yang telah diwujudkan melalui Perikatan Nasional dapat terus dihormati dan dipelihara.

5. Dalam konteks parti Perikatan Nasional, BERSATU akan terus memperkukuhkan kerjasama politik bersama parti-parti anggota Perikatan Nasional yang lain iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

6. BERSATU memutuskan untuk memberi fokus terhadap pembinaan kekuatan parti melalui amalan politik khidmat dan politik prihatin, serta mengarahkan seluruh jentera untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

7. Mesyuarat juga bersetuju untuk menganjurkan siri Jelajah Bersatu 2021 dalam masa terdekat untuk memberi penerangan berkenaan isu-isu semasa.


WAN SAIFUL WAN JAN
Ketua Penerangan
Parti Pribumi Bersatu Malaysia

6 Januari 2021