KENYATAAN MEDIA
SETIAUSAHA AGUNG
PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini, yang dipengerusikan oleh Presiden BERSATU, YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Hj. Mohd. Yassin telah membincangkan hala tuju dan pendirian BERSATU berhubung perkembangan politik semasa.

Dalam mesyuarat tersebut, MPT sekali lagi menzahirkan rasa kesal terhadap Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap YAB Menteri Besar Perak yang diusulkan oleh UMNO tetapi tidak disokong oleh UMNO dan Pakatan Harapan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini.

Berikutan itu, MPT sebulat suara bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama antara BERSATU dan PAS melalui Perikatan Nasional dalam usaha mengekalkan kestabilan politik di peringkat nasional dan negeri.

Semua keputusan yang bakal diambil BERSATU berkaitan penubuhan Kerajaan Negeri Perak yang baharu akan mengambil kira ketetapan bersama rakan-rakan Perikatan Nasional terutama PAS yang terlibat secara langsung.


YB DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDIN
Setiausaha Agung
Parti Pribumi Bersatu Malaysia

7 Disember 2020