Latar belakang

Latar belakang

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) merupakan sebuah parti politik di Malaysia yang kini dipimpin oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin sebagai Presiden parti.

Pendaftaran BERSATU diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 9 September 2016, dan seterusnya dilancarkan dalam satu majlis gilang-gemilang di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor, pada 14 Januari 2017.

Sejak awal penubuhan, BERSATU meletakkan dirinya sebagai sebuah parti untuk orang Melayu dan Pribumi yang menawarkan politik dan pentadbiran yang bersih, berintegriti dan memerangi amalan rasuah, serta menjaga kebajikan dan kemakmuran untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Penyertaan sulung BERSATU dalam pilihanraya ialah pada tahun 2018 (PRU14). Pada masa itu, BERSATU memimpin gabungan Pakatan Harapan (PH) untuk menentang Barisan Nasional (BN). Kepimpinan BERSATU dalam PH membawa kepada satu sejarah penting politik Malaysia, yang mana PH telah berjaya mengambil alih pentadbiran Malaysia. BERSATU sendiri bertanding di 52 kerusi parlimen, dan menyumbang sebanyak 13 kerusi parlimen untuk membentuk kerajaan PH. BERSATU juga memimpin kerajaan-kerajaan negeri di Kedah, Perak, dan Johor hasil daripada usaha gigih seluruh jentera parti dalam PRU14.

Kejayaan BERSATU dalam PRU14 merupakan satu titik penting bagi parti itu, dan juga bagi perjalanan demokrasi di Malaysia. Ia menunjukkan bahawa walaupun baru ditubuhkan dua tahun sebelum PRU14, agenda perjuangan dan juga saf kepimpinan yang ditawarkan oleh BERSATU diterima baik oleh rakyat sehingga membawa kepada kemenangan.

Tun Dr Mahathir Mohammad merupakan Pengerusi pertama BERSATU. Selepas kemenangan PRU14, beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-tujuh di hadapan Yang di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara, pada 10 Mei 2018. Bagaimanapun Tun Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BERSATU pada 24 Februari 2020.

Untuk menyelamatkan negara daripada dilanda krisis politik dan kepimpinan, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dipilih oleh majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-lapan. Sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat itu telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan beliau telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020.