Prinsip-prinsip Perjuangan


  1. Menegakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan menghormati hak orang bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni.

  2. Mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan hak-hak yang sah untuk semua kaum.

  3. Memperkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memelihara hak semua kaum untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

  4. Menegakkan sistem demokrasi berparlimen dan doktrin pemisahan kuasa dengan memperkukuhkan institusi demokrasi menerusi reformasi institusi yang menyeluruh.

  5. Memperkasa agenda memerangi rasuah dan salah guna kuasa untuk mewujudkan amalan tadbir urus yang baik dan pemerintahan yang bersih, beramanah dan berintegriti.

  6. Memelihara hak-hak asasi rakyat sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, menjunjung nilai-nilai keadilan sejagat yang selari dengan agama Islam, serta menjunjung keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta prinsip keadilan dan kesaksamaan.

  7. Menjunjung kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.

  8. Membentuk masyarakat Malaysia yang inklusif, progresif, dinamik dan saintifik serta menghargai seni, budaya dan tradisi sebagai acuan membina sebuah negara maju yang sejahtera.

  9. Memperjuangkan keadilan sosial, mengagih kekayaan negara secara adil dan saksama, membela kebajikan rakyat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama.

  10. Mendokong prinsip bahawa setiap rakyat berhak untuk berjaya dengan memperolehi pendidikan yang berkualiti dan sempurna menerusi satu sistem pendidikan yang mementingkan pengembangan bakat, kreativiti, inovasi dan amalan nilai-nilai murni serta melaksanakan dasar dan inisiatif yang konsisten untuk merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.

  11. Memupuk perpaduan dan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum dan agama, memelihara kestabilan politik dan keselamatan negara, dan memacu pembangunan ekonomi yang mapan demi kepentingan rakyat dan negara.

  12. Mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara serta mendukung Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-Negeri.

  13. Menyertai Pilihanraya Umum Persekutuan dan Negeri serta Pilihanraya Kecil dengan tujuan untuk menghantar wakil parti ke Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Connect with us